Wednesday 28 July 2010

Kegilaan Terbaru Dunia IT

SETIAP kali syarikat elektronik terkenal Apple Inc. menampilkan gajet terbaru mereka, boleh dikatakan satu dunia akan 'histeria'. Pastinya akan berlaku kesesakan dengan orang ramai sanggup berbaris panjang demi menjadi yang pertama memilikinya.

Ia seolah-olah telah menjadi satu fenomena. Semuanya gara-gara peminat setia jenama pengkomputeran gergasi itu yang tidak mahu melepaskan peluang menjadi antara pemilik pertama memperoleh produk yang ditawarkan.

Melihat senario di Malaysia pula, belum pun sesuatu produk keluaran syarikat berkenaan memasuki pasaran negara, ramai yang telah berdiskusi dan memberi pendapat mengenainya.

Tidak kiralah sama ada memuji mahu pun mempertikaikan kekurangannya. Apa yang pasti, cerita gajet-gajet Apple Inc. ini memang tidak pernah sunyi. Ia sering diperkatakan oleh pengikut setia peranti elektronik moden.

Begitulah hebatnya kesan gelombang teknologi yang dibawakan oleh syarikat berusia lebih 30 tahun itu.

Berpangkalan di California, Amerika Syarikat, antara produk yang pernah dihasilkan adalah daripada rangkaian perkakasan pengkomputeran, perisian, pemain media mudah alih, telekomunikasi dan aplikasi.

Kesemuanya mempunyai keunikan tersendiri dan didatangkan dalam pakej yang menarik perhatian daripada segi fungsi dan juga rekaannya.

Dengan segala kelebihan itu, ia bukan sahaja memudahkan urusan serta aktiviti harian pengguna tetapi juga melengkapkan trend penggunaan gajet moden yang segar dan eksklusif.

Maka, tidak hairanlah sehingga suku ketiga tahun ini sahaja, Apple Inc. telah berjaya mencatatkan jualan memberangsangkan bagi kesemua produk syarikat berkenaan.

Menjejak kembali evolusi perkembangan peranti pengkomputerannya, ia telah melalui pelbagai peringkat pembangunan pada sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.

Sehingga pada tahun 1998, syarikat berkenaan telah memperkenalkan peranti komputer meja semua dalam satu Macintosh yang pertama dikenali sebagai iMac.

Lanjutan daripada itu, produk tersebut kemudiannya mendapat sentuhan peningkatan dan penambahbaikan dari segi kualiti, reka bentuk dan sistem operasinya, maka lahirlah beberapa siri iMac terbaru seperti iMac G3, iMac G4 dan iMac G5.

Antara tarikan lain yang terdapat pada produk-produk Apple Inc., ia didatangkan bersama aplikasi-aplikasi sokongan untuk kemudahan operasinya seperti Apple Store, iTunes Store, sistem operasi Mac OS dan perisian-perisian profesional untuk pelbagai fungsi. Berikut ditampilkan beberapa gajet keluaran Apple Inc. yang semakin menjadi kegilaan pengguna di seluruh dunia terutama golongan remaja.